loading...
bagi kaki pancing, sarang kerengga sering dicari untuk mengambil anaknya bagi dijadikan umpan memancing.
LABIS 23 Ogos - Kerengga mungkin dilihat ramai pihak tidak membawa banyak faedah atau hanya mengganggu manusia. Tidak kurang pula yang berasa takut dengan gigitannya disebabkan sifat agresif serangga itu terutama ketika sarangnya diganggu.
Namun sebaliknya bagi kaki pancing, sarang kerengga sering dicari untuk mengambil anaknya bagi dijadikan umpan memancing.
Kedengaran seperti senang untuk mengambil anak kerengga tetapi sebenarnya tidak semudah itu. Ini kerana mereka akan terdedah pelbagai risiko khususnya serangan serangga itu.
Kerengga merupakan sejenis semut yang berkoloni terdiri daripada ratu, raja, pekerja (askar), anak (larva) dan kepompong.
Namun bagi Mohd. Fazil Abdullah, 44, gigitan serangga itu tidak menghalangnya untuk mengambil anak kerengga yang disifatkannya sebagai antara umpan terbaik pernah digunakannya bagi menjinakkan beberapa spesis ikan sungai seperti lais, baung dan lampam.
Menurutnya yang bekerja sebagai pemandu lori, selain anak kerengga, telur serangga tersebut juga sering digunakan kebanyakan kaki pancing untuk menjinakkan spesis ikan puyu dan seluang.
“Tetapi telur tersebut mestilah dicelur menggunakan air panas bagi mengelakkannya terburai sewaktu dicucuk di mata pancing.
“Selain digemari kebanyakkan spesis ikan sungai, keistimewaan anak kerengga sebagai umpan pancing kerana boleh hidup lebih lama hingga mampu bertahan kira-kira dua minggu sekiranya disimpan dengan baik berbanding umpan hidup lain seperti cengkerik atau anak udang.
“Anak kerengga juga lebih tahan lama terendam dalam air dan tidak mudah tercabut dari mata pancing berbanding umpan lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Awam Labis, di sini baru-baru ini.
Menurutnya yang sudah menggunakan anak kerengga sebagai umpan pancing lebih 10 tahun lalu selepas diperkenalkan seorang kaki pancing kepadanya, mereka yang mahu mengambil kerengga atau telur dan sarangnya harus mengetahui tekniknya.
Mengimbau kembali sewaktu mula-mula mencari anak kerengga, dia agak sukar membezakan sarang kerengga yang mempunyai anak dan sering tersalah mengambil sarang yang dipenuhi telur sahaja.
Menurut Fadil, kerengga gemar membuat sarang di pokok leban dan angkasia jika di kawasan belukar, sementara pokok rambutan dan mempelam pula menjadi pilihan di kawasan berhampiran kediaman dan pokok kelapa sawit sekiranya di kawasan kebun.
Namun katanya, pengalaman mengajarnya bagaimana cara untuk mengenal pasti sarang matang dan mempunyai anak kerangga yang sesuai dijadikan umpan serta waktu paling sesuai mengambil anak kerengga.
Ujarnya, jika daun yang menjadi bahan asas sarangnya sudah mulai kering dan bertukar warna keperangan serta kerengga yang bersifat aktif mempertahankan sarangnya daripada diganggu, ini bermakna terdapat anak kerengga yang sesuai dijadikan umpan dalam sarang tersebut.
Waktu paling sesuai mengambil anak kerengga yang selalunya terdapat di kawasan belukar adalah pada waktu petang kerana pada waktu pagi selalunya kerengga begitu agresif dan aktif menyerang sekira sarangnya diganggu, katanya.
“Sebenarnya kita hanya perlukan bekas kosong berupa beg plastik beras, parang, sabit dan galah sebagai peralatan asas untuk mendapatkan sarang kerengga yang selalunya berada di bahagian hujung dahan pokok.
“Kerja tersebut harus dilakukan dengan hati-hati untuk mengelakkan kecelakaan terutama sekiranya perlu memanjat pokok yang tinggi. Selepas menemui sarang kerengga, selalunya saya akan memotong ranting tempat sarang tersebut bergantung dan bertindak memasukkan sarang tersebut ke dalam beg plastik beras yang dibawa sebaik sarang tersebut jatuh ke bumi,” katanya.
Selepas itu bekas tersebut perlu diikat bagi menggelakkan kerengga dan anaknya tersebut keluar melarikan diri, kemudian plastik tersebut perlu digoncang dengan kuat beberapa kali bertujuan memecahkan sarang tersebut.
Untuk seketika plastik tersebut dibiarkan dalam keadaan terikat hingga semua kerengga dan anaknya keluar dari sarang yang telah terburai akibat goncangan kuat sebelum boleh dibuka bagi membolehkan proses memungut anak kerengga dilakukan, jelasnya.
Katanya lagi, pencari anak kerengga tidak mungkin dapat mengelakkan diri daripada digigit kerengga sebaik ikatan beg plastik dibuka kerana pada waktu tersebut kerengga begitu agresif menyerang untuk mempertahankan anaknya.
Proses mengasingkan anak kerengga perlu dilakukan secepat mungkin sekiranya tidak mahu teruk digigit kerengga. Tidak sukar membezakan anak kerengga dengan ibunya kerana anak kerengga mempunyai saiz tiga hingga lima kali lebih besar serta berkepak dan berwarna hijau berbanding ibunya yang berwarna perang.
Mohd. Fazil berkata, selalunya setiap sarang dia boleh mengumpul lebih 200 ekor anak kerengga yang boleh digunakan untuk dua atau tiga kali aktiviti memancing. Umpan selebihnya boleh disimpan dalam bekas yang dicampurkan dengan daun kering dan segar, cara ini mampu bertahan lebih dua minggu tanpa perlu diberi sebarang makanan.
Selain menjadi umpan kegemaran ikan, dia gemar menggunakan anak kerengga kerana boleh didapati dengan mudah dan percuma berbanding umpan hidup lain seperti cengkerik, anak udang mahupun anak ikan yang agak mahal di pasaran ketika ini.
“Sebenarnya tidak ramai mengetahui kelebihan umpan anak kerengga untuk memancing, kalau adapun yang saya ketahui segelintir sahaja menggunakan telur kerengga sebagai umpan memancing tetapi telur kerengga tidak sesuai untuk memancing di arus deras.
“Namun bagi kebanyakkan rakan yang sudah mencuba menggunakan anak kerengga selalunya akan terus melupakan umpan lain seperti cacing dan tapa mahupun umpan hidup lain untuk menjinakkan ikan termasuk yang bersaiz besar,” katanya.
loading...
0 Response to "KATANYA JIKA JUMPA SARANG DAN KOLONI NIE TERUS DI PANCAT DAN PETIK TAK KIRA WALAU ADA ULAR BERBISA DI ATAS POKOK ITU..PELIK BETUL KERJA LELAKI INI,,BERAPALAH PENDAPATANYA LUMAYAN NIH AGAKNYA"
Post a Comment