Berlainan pula buat Shamelinn Saddriri. Gadis cantik berusia 20 tahun ini beranggapan aktiviti memancing adalah satu perkara yang menyeronokkan dan mencabar.
“Saya dan rakan sering keluar memancing di tepi pantai, tambahan pula kawasan rumah berhampiran laut.
“Selain sukakan cabarannya, saya gembira berhadapan situasi mengangkat ikan yang merentap umpan.
“Perasaan teruja timbul kerana ingin melihat ikan apa ditangkap membuatkan minat itu kian bertambah, lebih-lebih lagi selepas berjaya menaikkannya,” ujarnya.
Menanam impian ingin memiliki perniagaan sendiri, Shamelinn meminati bidang kecantikan serta solekan kerana beranggapan setiap orang perlu kelihatan menarik dan cantik.
“Dari dulu, saya suka alatan solek, mendandan rambut dan merias wajah sendiri dan rakan-rakan yang mahukan sentuhan solekan daripada saya,” katanya.
Bercerita mengenai hal peribadi, Shamelinn berkata, dia berasal dari Sabah dan sudah lebih lapan tahun tidak pulang ke kampung halaman. Namun, tahun lalu dia pulang ke kampung untuk bertemu ibu kandungnya setelah sekian lama terpisah berikutan penceraian kedua ibu bapanya.
“Perasaan teruja terutamanya ibu yang sudah lama tidak bertemu membuatkan rasa rindu dan ingin terus menetap di Sabah, namun ada tugas lain perlu dilakukan di Manjung.
“Tahun hadapan, saya akan pulang ke Sabah untuk beraya bersama keluarga sebelah ibu. Saya ingin menikmati semua juadah enak di negeri itu,” katanya yang berdarah campuran Filipina.