loading...
Anak aku tidak nampak sangat bakat seni. Tapi dia selalu pergi kelas muzik. Jam 3pm sampai 5pm, 3 kali seminggu. Konsisten. Sedangkan aku kecil dulu pergi kelab kompang sekali sebulan pun liat ya ampun. Boring.
Inikan pula kelas muzik. Di sini kelas muzik percuma kerajaan bayar. Sebab itu ramai ambil mudah, belajar separuh jalan lepas itu berhenti.
Tapi anak aku tidak. Dia teruskan sahaja. Tiada komplen penat atau merungut. Rajin aku tengok. Aku pun syak juga, entah apa yang dia buat lepas sekolah sampai rajin sangat.
Rupanya ada cara mereka mahu mendidik anak. Aku pun baru tahu. Bukan sebab ada girlfriend atau ada cikgu lawa. Tapi ada benda lain.
1. Ia sesi yang tidak stress
Masa dua jam itu dibahagikan. Setengah jam bawa budak berjalan dari sekolah, setengah jam belajar muzik, selebihnya main dan makan.
Bukan belajar memanjang. Budak kalau dapat main, 2 jam pun tidak terasa. Sama macam kecil dulu mandi sungai. Ya Tuhan! Punya syok sejuk-sejuk. Dari pagi sampai petang. Sampai boleh lupa balik rumah.
2. Bila sudah seronok barulah budak-budak mahu datang lagi
3 kali seminggu kawan. Tidak mengeluh, jarang ponteng. Kalau ada summer class atau orkestra, ramai-ramai pakat datang. Meriah.
Kalau awal lagi kau sudah tekan buat benda dia tidak suka, alamat satu hari aje kau jumpa dia. Serik mahu datang lagi. Kau mungkin sudah bunuh masa depan dia.
3. Tidak boleh dipaksa-paksa
Kena sedikit sedikit. Tapi konsisten. Belajar sikit, main banyak. Nampak macam main, tapi sebenarnya masa itulah dia belajar. Bak kata pepatah ‘Mind just like a paracute, only works when open’. Kalau tutup, mati woi.
Budak hanya belajar kalau dia bermain. Tapi kita ini cepat risau. Pantang anak kurang sikit, semua macam kelas kita hantar. Entah apa.
4. Budak itu bukan budak hingusan
Tidak dilayan macam budak kecil yang tidak tahu apa-apa. Tapi kena seperti dewasa. Cikgu sembanh dengan budak macam orang besar. Padahal borak watak game Pokemon Go je pun. Haha.
Masa dulu, cikgu paling aku sayang mesti cikgu yang layan aku sembang walaupun sebenarnya dia suruh tolong angkat buku ke pejabat guru. Terasa terpilih gitu.
5. Budak-budak ini dijemput dari sekolah
Dipakaikan vest keselamatan, diajak beratur dan dipimpin seorang demi seorang melintas jalan. Bila sampai ditanya sudah makan atau belum.
Caring. Nampak sangat dihargai dan diambil peduli. Kalau aku pun boleh cair, apatah lagi budak. Sayang woi dengan cikgu. Patut pun anak aku seronok sangat.
Love and care. Berlembut dengan budak. Dulu jumlah budak berhenti kelas 50%. Tahun ni zero. Tiada yang berhenti. Ye lah. Kalau suka, kelas hari-hari pun tidak mengapa. Memang jarang nampak budak ponteng sekolah. Hampir tiada.
Dulu masa di Malaysia aku hantar macam-macam kelas. Agama, muzik lukisan, berenang, matematik. Kau sebut apa, semua aku kasi register.
Kalau aku fikir balik, zalim betul. Aku yang balik kerja pukul 5 pun rasa penat, inikan pula budak. Tapi di Malaysia memang kita macam itu, takut benar kalau anak tidak masuk kelas depan. Kita sesah anak supaya cepat pandai.
Aku teringat tadika sebelah rumah Ibu. Cikgu terjerit-jerit ajar anak supaya cepat pandai membaca. Dipaksa-paksa. Budak 6 tahun tu, risau apa kalau tidak pandai baca. Kan budak-budak ini membesar tidak sama. Rileks lah. Kali terakhir aku tengok kelas tadika sudah surut dari 4 kelas menjadi dua.
Aku pun dengar ada anak sudah dipaksa ke kelas tuisyen seawal darjah 1. Budak sangat lagi kot. Macam sudah mahu masuk universiti gayanya. Kan bagus kita gambarkan ‘school is fun place’.
Ada negara tiada homework pun.
Ada baik juga orang putih ini dia didik anak step by step. Ajar sikit-sikit. Bila besar nanti akan jadi hunger for more. Mahu tahu lagi. Belajar berfikir.
Sebenarnya dia ajar anak macam mana untuk memancing. Esok sudah besar pandai cari ikan sendiri. Bila sudah suka belajar, esok pandai dia cari ilmu sendiri. Di sini, anak umur 16 tahun dianggap young adult. Semua urus sendiri, emak bapa tiada kuasa atas anak.
Dulu aku pun sama. Dalam sibuk mendidik anak, terlupa ada jiwa keanakan yang aku tidak santuni atau tidak peduli. Aku mungkin tidak sengaja mencabut keseronokan dalam diri. Patut biar dia dalam dunia fantasi.
Dia akan besar juga. Aku lupa anak ini ibarat bunga. Cantik bila kembang semulajadi, bukan dipaksa-paksa. Sabarlah sedikit, nanti dia akan mekar juga.
Biar usaha kecil, tapi berhasil.
Catatan kembara
Irwan Dahnil
Late Bloomer
Gelasgow, Sekutland
Irwan Dahnil
Late Bloomer
Gelasgow, Sekutland
loading...
0 Response to "Pelik Bila Anak Aku Suka Ke Kelas Muzik Walaupun Tiada Bakat, Rupanya Kerana Ini"
Post a Comment